Rahsia di sebalik ketentuan qadak dan qadar Allah
Hikmah Orang Yang Suka Berdoa
Pada hakikatnya, berdoa bukan amalan orang yang lemah, putus asa ataupun tidak mempunyai harapan setelah banyak ikhtiar dilakukan tetapi gagal. Doa ialah senjata orang yang beriman. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda menyatakan bahawa doa itu adalah otak ibadah. Bererti bahawa setiap ibadah itu mesti bermula atau disertai doa.
Untuk hidup sejahtera, manusia perlukan otak. Ibadah seseorang itu perlukan otak. Pada manusia otak ibadah itu adalah doa. Pada manusia juga, otak adalah organ yang sangat kompleks, pusat segala aktiviti, menjalankan fungsi berfikir, punca reaksi seperti takut, bimbang, rasa sensitif dan sebagainya, mengawal pergerakan tubuh yang tidak boleh diganti apabila rosak.
Kita lihat di sini betapa pentingnya otak dalam kehidupan manusia, begitulah keperluan doa dalam ibadah, seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang tidak boleh dinafikan.
Dalam usaha mengatasi kesesakan hidup, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: Barang siapa membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, ia tidak akan ditimpa kefakiran buat selama-lamanya. - Hadis riwayat al-Bayhaqi dari Ibnu Masud.
Abdul Munim Qandil dalam bukunya bertajuk Al-Tadawi bil'-Quran (t.t: 142), menjelaskan bahawa barang siapa mahu supaya kefakiran itu tidak masuk dalam rumahnya, ia hendaklah membaca surah al-Waqi'ah setiap malam.
Rasulullah telah mengajar seorang lelaki yang bernama Abu Umamah yang sedang dilanda duka dan hutang dan menyuruh ia membaca di waktu pagi dan petang ayat-ayat yang bermaksud di bawah ini, supaya Allah s.w.t akan menghilangkan kebimbangannya, dan menglangsaikan hutang darinya:
"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada duka dan kesedihan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada lemah dan malas".
Oleh: Dr. Amran Kasimin.