Sejarah

Unit Latihan Perhutanan merupakan sebuah unit yang diwujudkan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), yang telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program-program latihan perhutanan bagi menjamin bekalan tenaga manusia yang terlatih untuk keperluan sektor perhutanan selaras dengan Akta Perhutanan Negara.

Bagi melatih kakitangan Jabatan, Sekolah Perhutanan Kepong (SPK) telah ditubuhkan dalam tahun 1927 dan merupakan satu-satunya "Pusat Latihan Perhutanan" yang tertua untuk "Pegawai-pegawai Berpakaian Seragam" di Semenanjung Malaysia ini. Pada peringkat awalnya, SPK hanya digunakan untuk melatih "Penjaga Hutan (Forest Guard)" yang perlu menjalani kursus setahun sebagai syarat perkhidmatan untuk dilantik ke dalam jawatan "Pengawas Hutan II (Forester Grade II)".

Sistem Perkhidmatan pegawai berpakaian seragam ini kemudiannya diubahsuai dan jawatan Penjaga Hutan dimansuhkan. Pertukaran akibat dari skim perkhidmatan ini menyebabkan pada pertengahan tahun 1970, SPK menyediakan pula kursus untuk "Buruh Hutan dan Anak Perahu (Boatman)" - lulus dalam peperiksaan awal ini membolehkan mereka mendapat Sijil Perhutanan untuk ke jawatan "Pengawas Hutan". Amalan yang berkenaan juga tidak lama, berikutan dengan "Skim Baru" untuk pegawai berpakaian seragam yang diperkenalkan pada tahun 1984. Melalui skim baru dua bentuk kursus diadakan iaitu "Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan".

Untuk menampung keperluan tenaga manusia dalam industri pembalakan maka pada tahun 1973, Pusat Latihan Membalak telah ditubuhkan di Terengganu dengan kerjasama Kerajaan New Zealand. Pusat ini melatih pekerja-pekerja mahir bumiputera dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pembalakan untuk dibekalkan kepada industri pembalakan.

Dalam tahun 1980an skop latihan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah di perkembangkan dengan mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi semua pegawai-pegawai perhutanan. Dengan ini juga semua pusat latihan di atas ditingkatkan dan disepadukan menjadikan Unit Latihan Perhutanan, JPSM dan latihan di unit ini telah berkembang dari semasa ke semasa.

Bangunan Lama Sekolah Perhutanan Kepong


Pengarah-pengarah ULP terdahulu dan semasa:
  1. S.Sukumara Singham (1978 - 1980)
  2. Johari bin Baharudin (1981 - 1983)
  3. Cheah Leong Chiew (1983 - 1984)
  4. Abdul Rashid bin Mat Amin (1985 - 1987)
  5. Hj. Mat Salleh bin Tambong (1987 - 1992)
  6. Razani bin Ujang (1992 - 1993)
  7. Mohamed bin Haji Ismail (1993 - Sekarang)


[ Laman Utama | | Sejarah | | Misi dan Objektif | | Piagam Pelanggan |
| Sekolah Perhutanan Kepong | | Peperiksaan | | Latihan Dalam Perkhidmatan |
| Pusat Latihan Perhutanan Terengganu | | Kemudahan | | E-mel ]


1