WALAUPUN amalan tahlil merupakan satu amalan yang sudah sebati
pada masyarakat kita,
namun ianya sering menimbulkan persoalan mengenai kesahihan amalan
tersebut atau
benarkah ianya suatu bid’ah. Adakah amalan ini sesuai diamalkan atau
ianya perlu dibuang
terus dari kamus kehidupan masyarakat masakini. Untuk menyingkap persoalan
ini, wakil
majalah suara kampus edisi kedah (SUKEK) Ustaz Rashidi Shukri cuba
membongkarnya
secara lebih teliti dengan menemubual al Fadhil al Ustaz Aminuddin
Abdul Rahim bagi
merungkai kekusutan dan kekeliruan dalam mentafsir masalah ini.
Ikuti bicara beliau, “Apakah Tahlil suatu Bid’ah atau Fanatik
Pendapat?”.
SUKEK: Apakah erti tahlil yang sebenar?
US.AMIN: Tahlil di sudut bahasa Arab adalah masdar (nama terbitan)
yang bermaksud mengucapkan:
"Laa ila ha illallah"
( Ruj. Mu’jam Al-Wasit m/s 1032.).
Berdasarkan pengertian ini, apabila seseorang mengatakan saya
ingin menghadiri majlis tahlil. Ini bererti dia
ingin menghadiri majlis pembacaan zikir La ilahaillah, jika kita meneliti
agenda yang dilaksanakan dalam majlis tahlil,
kita dapati bukan sahaja zikir yang dibacakan, malah terdapat berbagai
lagi amal kebaikan yang di antaranya dimulakan
dengan membaca surah al-Fatihah dan disusuli dengan ayat-ayat suci
al-Quran, Selawat, tahlil dan diakhiri dengan doa
agar Allah menyampaikan bacaan-bacaan tadi kepada orang yang telah
meninggal dunia.
Justeru itu, dapat difahamkan penggunaan perkataan tahlil di
sini termasuk dalam ilmu balaghah sebagai
majaz mursal, di mana digunakan sejuzuk daripada semua perbuatan itu,
sedangkan yang dimaksudkan ialah semuanya.
Penggunaan majaz mursal ini terdapat banyak dalam penggunaan bahasa
Arab termasuk bahasa Melayu sendiri,
contohnya dalam bahasa Arab, firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat
2 yang bermaksud :
“...berdirilah dimalam hari kecuali sedikit (daripadanya)”.
Dalam ayat ini digunakan perkataan berdiri yang merupakan salah satu
daripada rukun sembahyang sedangkan yang
dimaksudkan ialah seluruh perbuatan dalam sembahyang, bermula daripada
takbiratul ikhram dan diakhiri dengan
salam dengan syarat-syarat yang tertentu. Sebab itu perkataan berdirilah
dari ayat ini ditafsirkan sembahyanglah.
Dalam bahasa Melayu juga ada penggunaan sedemikian,sebagai contohnya
apabila Ali mempelawa Mahmud
makan malam dirumahnya dengan katanya, “Marilah makan nasi di rumah
saya malam ini”. Dalam ayat ini perkataan
nasi yang digunakan itu tidak dimaksudkan nasi itu sahaja,
malah yang dimaksudkannya ialah nasi, dan segala
lauk-pauk serta hidangan yang lain yang dihidangkan oleh Ali.
SUKEK: Bagaimana pandangan ulama’ tentang tahlil dan
apa pula kecenderungan ustaz, mengapa?
US.AMIN: Terdapat perselisihan pendapat ulama’ berkenaan
dengan majlis tahlil ini. Saya secara peribadi lebih
cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini disebabkan
oleh beberapa faktor.
Kalaulah ditakdirkan pahala amalan yang kita lakukan itu
tidak sampai kepada si mati seperti yang
disangkakan oleh golongan yang menolaknya, sekurang-kurangnya mereka
yang melakukan tahlil tersebut akan
memperolehi pahala untuk diri mereka sendiri, kerana mereka telah berhimpun
untuk sama-sama melakukan kebaikan
dengan menyahut seruan Allah yang terdapat secara umum dalam firman
Allah dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang
bermaksud :
“... ingatlah kamu sekelian kepada ku, nescaya Aku ingat kepadamu....”.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W pula, mafhumnya:
“Tidak duduk sesuatu kaum sambil berzikir mengingati Allah S.W.T.,
kecuali mereka akan dikelilingi oleh para
malaikat dilimpahi rahmat, diberikan ketenangan jiwa, dan Allah
mengingati (menyebut-nyebut nama mereka) kepada malaikat yang di sisinya
. (riwayat Muslim) ruj.‘Fatawa Hadithiyyah’Ibn. Hajar Haitami (m/s
109) cetakan
Darul Fikr.
SUKEK: Bolehkah ustaz sebutkan contoh ulamak yang
membolehkan tahlil serta dalil mereka?
US.AMIN: Sebelum saya menjawab persoalan ini, saya ingin menjelaskan
terlebih dahulu yang menjadi perdebatan
sengit di kalangan para ulama ialah tentang pahala bacaan dan ayat-ayat
al-Quran yang merupakan antara bacaan utama
dalam majlis tahlil itu, apakah ianya sampai atau tidak? Setakat yang
saya temui daripada beberapa kitab yang saya baca,
pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada si mati itu akan sampai
kepada si mati dengan izin Allah. Di sisi
jumhur ulama, menurut Prof. Dr. Wahbah az Zuhaili dalam kitab
beliau ‘Al-Bida’ul Munkarah’ (m/s 39) cetakan Darul
Maktabi. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, kebanyakan
ulama-ulama salaf serta pendapat yang
muktamad di sisi alim ulama muta’akhirin daripada mazhab Maliki dan
Syafie.
Bekas mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf r.a, juga memberikan
pandangan yang sama dalam kitab beliau
‘Hukmu As Syariah Fi Maktami Lailatil Arbain’ (m/s 52) cetakan Mustafa
Halabi.
Sementara ulama yang menyebut tentang tahlil pula antara lain
ialah;
i) Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam
kitab beliau ‘Hadaayal Ahya’ Lil Amwat’
(m/s 95) cetakan Dar Jawami’ al-Kalim.
ii) Syeikh Ismail Usman Zain r.a. dalam kitab fatawanya ‘Qurratul
A’in’ (m/s 86) susunan tuan guru kita
Syeikh Muhammad Nuruddin al-Makki.
iii) Imam as-Syihab al-Qurafi dalam kitabnya ‘al-Furuq ‘ juz
3 m/s 193.
iv) Al-Habib al-’Allamah Zainal Abidin al-Alawi dalam risalah
al-Ijabah a’n Aqidatil Firqatil Naajiah (m/s 24).
Sebagaimana yang saya ketahui dari beberapa kitab yang membahaskan
masalah ini, saya temui banyak dalil
yang menunjukkan sampainya pahala bacaan al-Quran atau apa sahaja zikir
yang dibacakan dengan syarat didoakan atau
diniatkan oleh pembaca itu agar Allah menyampaikan pahala bacaannya
kepada si mati baik perseorangan maupun
muslimin dan muslimat seluruhnya.
Memandangkan ruangan yang terbatas ini, saya hanya ingin mendatangkan
3 dalil sahaja.
Pertama: Sabda Rasulullah S.A.W. yang mafhumnya:
“ Bacalah Yasin terhadap orang-orang yang telah meninggal
dunia di kalangan kalian”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, An Nasai
dan Ibnu Hibban).
Kedua: Ibn Umar telah mengatakan: Aku mendengar Rasulullah S.A.W
bersabda yang mafhumnya:
“ Apabila salah seorang daripada kamu meninggal dunia
maka janganlah kamu menahan mayatnya (dalam waktu yang panjang) dan segeralah
membawanya ke kubur dan hendaklah dibacakan si sisi kepalanya al-Fatihah”.
(menurut lafaz Imam Baihaqi, pembukaan al-Baqarah) dan dikakinya dengan
penutup surah al-Baqarah”. (Riwayat at-Tabrani dan Baihaqi)
Ketiga: Terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang sohih bahawa
Saidina Rasululah S.A.W sewaktu
menunaikan solat jenazah, baginda membaca surah al-Fatihah. Ini bermakna
secara tidak langsung bahawa bacaan
al-Quran yang dilakukan oleh orang hidup itu memberi manfaat kepada
si mati.
SUKEK: Setahu saya mereka yang mengatakan bacaan al-Quran
atau tahlil atau lain-lain amalan orang hidup
tidak akan membawa manfaat kepada si mati berdalilkan ayat 39
surah an-Najm, serta sabda Rasulullah S.A.W
yang mafhumnya “Apabila manusia meninggal dunia maka terputuslah
amalannya kecuali 3 perkara iaitu
sedekah jariah , ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh”.
Bagaimanakah pandangan ustaz terhadap
kedua-dua dalil tersebut?
US.AMIN: Setakat yang saya temui daripada kitab-kitab yang membahaskan
masalah ini, terdapat empat belas
pendapat ulama dalam mentafsirkan ayat ini bagi menyesuaikannya dengan
pendapat jumhur ulama yang mengatakan si
mati tetap boleh menerima manfaat daripada amalan orang yang masih
hidup. Secara ringkasnya saya mendatangkan
tiga pendapat ulama sahaja dalam mentafsirkan ayat ini.
Tafsiran Pertama: Huruf Jar iaitu (Lam) dalam bahasa Arab terdapat
beberapa makna. Oleh itu, huruf (lam)
yang terdapat pada lafaz:
"Lil Insan"
menurut salah satu tafsiran ulama’ yang disebut oleh Imam al-Qurtubi
dalam tafsirnya ialah bermakna memiliki dan
wajib. Oleh yang demikian, ayat ini diertikan, “Setiap manusia
itu mesti atau pasti memiliki setiap apa yang ia
usahakan”. Namun begitu, apabila pemiliknya menghadiahkan pahala
bacaannya tersebut kepada si mati, maka dengan
izin Allah, Allah akan menyampaikan pahala tersebut kepada yang dimaksudkan
itu. Contohnya, Ali memiliki rumah,
apabila dia membenarkan Zaid menduduki rumahnya itu, bermakna Zaid
telah memperolehi manfaat daripada rumah
Ali tanpa dia (Zaid) memilikinya. Maka, samalah halnya dengan Ali yang
masih hidup melakukan tahlil, kemudian dia
memiliki pahala yang diusahakannya itu, lalu menghadiahkan pahala miliknya
tersebut kepada Allahyarham Zaid ,
maka di sini Zaid memperolehi manfaat pahala kepunyaan Ali. Contoh
al-Insan yang terdapat di dalam ayat ini ialah
Ali yang mengusahakan amalan kebajikan iaitu membaca al-Quran dan bertahlil,
sementara Allahyarham Zaid tidak
memiliki pahalanya kerana ia tidak mengusahakannya ,tetapi ia memperolehi
manfaat pahala bacaan yang dihadiahkan
oleh Ali kepadanya. Hendaklah dibezakan antara lafaz:
" Wa annalaisa lil insanu illa ma sa a`"
(an Najm ayat 39)
dengan lafaz:
" Alla yantafi uul insan, Illa ma sa a`"
ruj. al-Iskat karangan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a ( m/s
37)
Tafsiran Kedua: Seseorang itu memperolehi teman dan anak cucu
serta isteri sebab usahanya sendiri dan
budi pekertinya yang baik dalam pergaulannya sewaktu hidup. Hasil daripada
kebajikan yang pernah dilakukannya
kepada mereka dan orang ramai menyebabkan timbulnya kesatuan antara
beliau dengan masyarakat. Setelah beliau
meninggal dunia, masyarakat menziarahi jenazahnya, melakukan solat
jenazah, membaca al-Quran, tahlil dan seterusnya
mendoakan kebahagiaannya. Ini bermakna pahala kebajikan yang dihadiahkan
oleh mereka untuknya adalah berpunca
daripada usahanya sendiri semasa hidup (pergaulannya yang baik). Bahkan
apabila seseorang itu mengucapkan dua
kalimah syahadah (mengolongkan dirinya dalam golongan kaum Muslimin)sahaja,
sudah cukup untuk mewujudkan
ikatan persaudaraan dengan seluruh umat Islam yang lain. Ikatan keislaman
ini akan menyebabkan beliau memperolehi
manfaat dari doa’ mereka secara umum, contohnya sewaktu khatib berdoa
memohon keampunan kepada muslimin
muslimat , dengan ini beliau juga termasuk dalam golongan mereka
yang di doakan berpunca dari hasil usahanya
sendiri iaitu keislaman dan keimanannya kepada Allah S.W.T.
Kalaulah orang yang sudah mati tidak memperolehi manfaat sama
sekali dari amalan orang hidup seperti yang
didakwa oleh sesetengah pihak, dimanakah manfaat ucapan salam yang
kita ucapkan kepada penghuni kubur sewaktu
kita menziarahi mereka? Begitu juga di manakah faedah solat jenazah
kepada si mati kerana solat jenazah itu amalan
orang hidup dan bukannya usaha orang mati.
Syeikh Ibnu Taimiyyah r.a yang merupakan ulama’ rujukan golongan
yang mengikut salafiyyah pernah
mengatakan,
“ Barangsiapa berpegang bahawasanya seseorang yang memperolehi
manfaat daripada amalan perbuatannya
sahaja,(dan tidak boleh samasekali memperolehi manfaat dari orang
lain) maka sesungguhnya dia telah menyalahi ijma’ ulama dan pegangannya
itu adalah batil”.
Kemudian beliau mendatangkan 22 contoh orang yang memperolehi manfaat
daripada usaha orang lain., contoh yang
pertama: mayat seorang yang berhutang telah disembahyangkan
jenazahnya oleh baginda Rasulullah SAW kerana
hutangnya telah dibayar oleh Saidina Abu Qotadah ra .
Kedua : seseorang yang mati memperolehi manfaat dari
pahala sedekah dan pembebasan hamba yang dilakukan oleh
orang hidup untuknya berdasarkan kepada nas hadis dan ijma’. Ketiga:
seseorang yang duduk dalam majlis zikir akan
dirahmati dengan sebab manfaat zikir yang dilakukan oleh ahli majlis
tersebut yang walaupun beliau duduk di situ
bukan bertujuan untuk berzikir, bahkan kerana keperluan lain.
Keempat: Solat jumaat dapat dilakukan apabila terhimpunnya
ahli jemaah sebanyak bilangan tertentu (menurut Mazhab
Syafie 40 orang ), demikian juga pahala solat jemaah akan terhasil
dengan wujudnya ahli jemaah yang lain.
Kelima: Seseorang dapat manfaat dari jirannya yang soleh
semasa hidup maupun setelah mati. Ini berdasarkan kepada
nas athar. Sebahagiannya lagi anda boleh rujuk dalam kitab ‘Hasyiah
Sowi al-Jalalain’, tafsiran ayat 39 surah an-Najm.
Bagi lebih terperinci lagi, sila rujuk tafsir ‘Al Futuhat al-Ilahiyyah’,
karangan Syeikh Sulaiman al-Jamal r.a.
Tafsiran Ketiga: Imam al-Alusi menyatakan dalam Tafsirnya ‘Ruhul
Ma’ani’ bahawasanya beliau lebih
cenderung kepada pendapat Imam al-Husain Ibnu Fadl yang mengatakan
bahawasanya “Seseorang itu tidak
memperolehi kecuali apa yang dia usahakan; jika dilihat dari sudut
keadilan, sedangkan jika dilihat dari sudut
kemurahan (Al-Fadl) Allah S.W.T , maka tidak mustahil Allah menambahkan
kurnianya kepada siapa sahaja yang
dikehendakiNya. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu melakukan
satu kejahatan, maka ditulis satu dosa, sebaliknya apabila seseorang itu
melakukan satu kebajikan, maka ditulis sepuluh ganjaran pahala , sehingga
700 kali ganda bahkan lebih dari itu ”.
( Mafhum hadis riwayat Bukhari (6490) dan Muslim (131) ruj. Riyadhus
Salihin:hadis 11).
Dari maksud hadis ini dapat difahamkan amalan kejahatan dibalas
dengan sifat keadilan, sedangkan amalan
kebaikan dibalas dengan sifat (al-Fadl) limpah kurnia Allah yang Maha
pemurah lagi Maha penyayang . Firman Allah
lagi dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
“ Dan Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa sahaja yang dikehendakiNya)”.
Kesimpulan daripada pendapat ini , seseorang itu memperolehi
apa yang diusahakannya, jika dilihat dari sudut
keadilan, sedangkan dia akan memperolehi bukan sahaja amalannya bahkan
manfaat daripada amalan kebajikan orang
lain yang dihadiahkan kepadanya jika dilihat daripada limpahan rahmat
dan kasih sayang Allah S.W.T
Manakala tentang hadis yang disebutkan pula, ulama mengatakan
hadis ini bukan bermaksud pembatasan
terhadap tiga perkara itu sahaja. Ini kerana masih terdapat hadis lain
yang diriwayatkan menyebut lebih daripada itu,
untuk lebih jelas lagi sila rujuk muqaddimah ‘Sunan Ibnu Majah’ (m/s
88), di mana Abu Hurairah r.a. meriwayatkan
hadis tentang tujuh perkara yang membawa pahala yang berterusan kepada
si mati setelah meninggal dunia. Begitu juga
hadis riwayat Abu Nua’im dalam ‘Hilyatul Auliya’’ :juz 2 (m/s 344),
sehingga berjumlah sebelas perkara .
Perkara-perkara tersebut ialah :-
Ilmu yang dimanfaatkan, doa anak yang soleh, pohon-pohon yang
ditanam , sedekah jariah , al-Quran yang
diwarisi, tempat naungan tentera di perbatasan yang beliau bina,
perigi yang digali, sungai yang diairi, rumah
tumpangan yang dibina, masjid yang dibina, al-Quran yang diajari.
Dari ketiga-tiga hadis ini Imam Sayuti r.a. menyusun beberapa
syair tentang sebelas perkara yang membawa
manfaat kepada si mati dan syair tersebut terdapat dalam kitab ‘Dalilul
Falihin’ :juz.3 (m/s 428) cetakan Darul Ma’rifah.
Ianya juga terdapat dalam beberapa baris syair lain dalam kitab ‘Bujairimi
A’lal Khatib’: juz 1 ( m/s 47)
cetakan Darul Fikr.
Kesimpulan yang dapat saya berikan, bukan sahaja perkara yang
terdapat dalam ketiga-tiga hadis ini sahaja
yang membawa manfaat kepada si mati, malahan masih banyak lagi perkara-perkara
lain yang membawa manfaat kepada
si mati yang terdapat pada hadis-hadis lain.. Salah satu contoh yang
boleh saya nyatakan di sini ialah upah haji yang
dilakukan untuk si mati. Ianya tidak terdapat dalam ketiga-tiga hadis
di atas, namun di sepakati oleh seluruh ulama’
kemanfaatannya terhadap si mati yang dihajikan berdasarkan nas hadis
sohih yang lain.
SUKEK: Apakah amalan tahlil ini suatu amalan yang salah
atau dikira sebagai termasuk dalam hadis yang
mafhumnya, “Setiap bidah itu adalah sesat (dolalah)”, dengan alasan,
ianya tidak pernah dilakukan oleh
Rasulullah S.A.W mahupun para sahabat dan tabie’in?
US.AMIN: Bagi menjawab soalan ini, terlebih dahulu saya ingin
menegaskan bahawa pendapat yang menyatakan
semua amalan yang tidak dilakukan atau ditinggalkan oleh Rasulullah
SAW dianggap bid’ah sesat seperti yang difahami
oleh sesetengah golongan adalah tidak benar.
Kalau mengikut pengertian yang diberikan oleh Imam Nawawi r.a
dalam kitabnya ‘Tahzibul Asmak
Wallughat’, bida’h ialah mengadakan suatu perkara atau amalan yang
tidak ada di zaman Rasulullah S.A.W. Ianya
terbahagi kepada baik dan buruk. Menurut tafsiran Imam Syafie r.a pula
“Setiap amalan yang mempunyai sandaran
(dalil asal) di sudut syarak; maka ia tidak dianggap bida’ah
(dholalah) yang walaupun tidak dilakukan oleh salaf”. :ruj ‘Itqanus
Sun’ah’ (m/s 12 dan 14). Secara ringkasnya Imam Baihaqi r.a meriwayatkan
dalam kitab ‘Manaqib Syafie’
tentang perkara baharu (al-Muhdathat) itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Amalan baru yang menyalahi al-Quran atau
Sunnah atau al-’Athar, atau Ijma’. Ini dikenali sebagai bid’ah
sesat (dolalah) yang dimaksudkan dalam hadis-hadis yang menolak bid’ah.
Kedua: Sementara setiap perkara baru yang diwujudkan setelah
itu merupakan amalan yang baik dan tidak bertentangan
dengan salah satu daripada keempat perkara di atas, maka ianya dikira
perkara baharu yang tidak dicela. Cuma ianya
dinamakan bid’ah disudut bahasa bukannya bid’ah di sudut syarak sepertimana
yang dimaksudkan dalam hadis atau
menurut istilah lain dinamakan bida’h hasanah, manakala sebahagian
ulama’ lain menamakannya sunnah hasanah.
Kalau saudara berpendapat bahawa setiap perkara yang tidak wujud
di zaman Rasulullah itu bid’ah sesat,
maka bagaimana dengan kata-kata Saidina Umar r.a sewaktu menghimpunkan
kaum muslimin pada solat tarawih agar
berjema’ah dengan seorang imam sahaja di zamannya. Kemudian beliau
berkata: “Sebaik-baik bida’h ialah perbuatan
ini”. :ruj. Fathul Baari :jld.13 (m/s 267).
Bagi orang yang mengatakan setiap perkara yang tidak wujud di zaman
Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a adalah sesat pula, katakanlah
kepadanya haram baginya mempelajari ilmu nahu sorof contohnya kerana ilmu
tersebut bida’ah yang tidak pernah dipelajari pada zaman Rasulullah S.A.W
mahupun dizaman sahabat r.a. Begitu juga apa yang dilakukan oleh teman-teman
kita dalam persatuan yang mengadakan forum-forum apabila datangnya munasabah-munasabah
tertentu, contohnya Forum Badar al-Kubra, ceramah Maulidur Rasul dan sebagainya.
Ini kerana di zaman para sahabat bila datangnya bulan Ramadhan kita tidak
pernah mendengar mereka mengadakan forum Badar al-Kubra yang disampaikan
oleh tiga panelis, kalau mengikut ta’arif yang sempit ini, maka banyaklah
majlis yang kita ikuti dalam persatuan adalah sesat .
Di zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a. juga tidak wujud
Kuliah Syariah, Usuluddin, Dirasat,
Lughah mahupun Madrasah Tahfiz al-Quran sepertimana yang dibentuk sekarang.
Katakan kepada mereka yang
berpendapat sedemikian, kenapa kamu pergi ke kuliah sedangkan kuliah
tidak wujud di zaman Rasulullah S.A.W? cuma
yang ada hanya pengajian di masjid. Begitu juga tanyakan kepadanya
bagaimana pendapatnya terhadap bid’ah yang
berlaku dalam kitab suci al-Quran sendiri ? Di zaman Rasulullah
S.A.W al-Quran diturunkan dan dipelajari oleh para
sahabat dalam keadaan tidak berbaris, tidak bertitik ,tiada nombor
ayat dan tiada pembahagian rubu’. Semuanya ini
disempurnakan dan ditambah oleh Imam Khalil bin Ahmad r.a. pada
zamannya dan digunakan hingga sekarang ,
sedangkan kita tidak pernah mendengar walaupun seorang ulama’ ‘mengatakan
Imam Khalil itu sesat atas perbuatannya
itu ataupun penambahannya itu dikatakan sebagai bid’ah dolalah’.
Jika semua perkara tersebut tidak disebut bid’ah sesat, maka
demikianlah halnya dengan majlis tahlil yang
diadakan. Sepertimana perkara-perkara di atas mempunyai dalil asal
tempat sandaran yang bertepatan dengan syara’,
bacaan al-Quran dan tahlil juga mempunyai dalil asal dari syara’ .
Sebab itu Prof. Dr. Wahbah Azzuhaili mengatakan
dalam kitabnya ‘Bidau’l Munkarah’( m/s 39) , “Bahawasanya bacaan al-Quran
kepada si mati bukan bida’h kerana ia
ada mempunyai sandaran dalil dari al-Quran, Sunnah, Ijma’, dan kaedah-kaedah
syarak”. Pengerusi Lujnah Fatwa
Azhar yang lalu, Syeikh Atiyyah Saqr juga menghuraikan dengan panjang
lebar tentang permasalahan ini dalam
fatawanya ‘Ahsanul Kalam Fi Fatawa Wal Ahkam’(juz 3 m/s 135 hingga
139) cetakan Darul Ghad. Begitu juga Syeikh
al-Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud dalam fatawanya juzuk 2 cetakan Darul
Ma’arif.
Sementara seorang ulama Yaman yang bernama al-Habib al-Allamah Zainal
Abidin al-Alawi r.a telah menjawab persoalan ini dengan katanya “...ketahuilah
bahawasanya amalan umat Islam yang terdiri daripada membaca al-Quran dan
bertahlil kepada mayat orang Islam adalah amalan yang bertepatan dengan
landasan Islam dan sesungguhnya bacaan tersebut adalah sampai manfaatnya
kepada si mati. menurut kesepakatan seluruh ulama’ kerana mereka berdoa’
setelah membaca al-Quran dan bertahlil yang antara lainnya bermaksud “Ya
Allah sampaikanlah pahala bacaan dan tahlil kami kepada si mati”.
Perselisihan di kalangan ulama’ hanya timbul sekiranya tidak
didoa’kan sedemikian. Berdasarkan kepada
pendapat inilah, maka kebanyakan umat Islam mengadakan amalan sedemikian.
Lantaran itu apa yang dipandang baik
oleh ulama’-ulama’ Islam, maka ia adalah baik di sisi Allah S.W.T insya
Allah ,:ruj ’Risalah Al-Ijabah’ (m/s24-25)
cetakan Dar Rifaie. Bagi mengetahui lebih mendalam tentang pandangan
ulama’ tentang tahlil ini sila rujuk kitab
‘Hadayal Ahya’ khususnya muka surat 35,72 dan 95.
SUKEK: Bagaimana pandangan ustaz tentang suatu artikel
yang menolak amalan tahlil yang disiarkan dalam
salah satu Suara Kampus keluaran bulan Disember yang lalu, di mana
penulis tersebut banyak mendatangkan
dalil ulama’-ulama’ mazhab Syafie yang tidak membolehkan pengiriman
pahala bacaan kepada mayat?
US. AMIN: Saya telah meneliti artikel tersebut dan saya dapati
sebahagian maklumat yang disiarkan adalah tidak tepat,
memandangkan ruang yang amat terbatas ini, saya tidak mampu untuk menjelaskan
kesemuanya sekarang. Sekiranya
saudara meneliti Fatawa Imam Ibnu Hajar al-Haitami r.a. di dalam ‘Fatawa
Kubra Al-Fiqhiyah’ saudara akan dapati
Imam Ibnu Hajar r.a. sendiri secara peribadi menyokong bacaan kepada
si mati, sebaliknya penulis memberikan
sebahagian maklumat sahaja yang sesuai dengan pendapatnya. Rujuk ‘Fatawa
Kubra’ juz.1 (m/s 424-425) cetakan Darul
Kutub Ilmiyah. Begitu juga penulis ada mengatakan pada muka surat 28
sewaktu ditanya bagaimana kalau semasa
bertahlil lalu berdoa, “Ya Allah sampaikanlah pahala bacaan kami
pada roh fulan”, beliau menjawab” ulama’ telah
sepakat bahawa pengiriman pahala bacaan itu tidak dapat sampai kepada
roh yang dikirimi sebab bertentangan dengan
firman Allah S.W.T ayat 39, Surah An-Najm”. Katanya, tentang
kesepakatan ulama’ itu adalah satu fakta yang tidak
benar , kerana setakat yang saya temui Jumhur Ulama’ daripada keempat-empat
mazhab menyokong sampainya pahala
tersebut seperti yang saya jelaskan pada awal tadi. Bagi lebih
jelasnya saya mencadangkan pembaca merujuk kitab
‘Hidayal Ahya’ dan ‘Annaf’ul Amim’ cetakan Darul Masyaari’ Beirut(m/s
18-58) , untuk melihat pendapat-pendapat
alim ulama’ daripada mazhab yang empat. Sebagai contoh, Imam Nawawi
r.a. sendiri menyebut di dalam kitabnya
‘Majmu’ Syarah Al-Muhazzab’ (juz. kelima m/s 286) cetakan Maktabah
Al-Irsyad Jeddah, yang bermaksud
“...disunatkan membaca apa yang termudah daripada al-Quran dan berdoa’
untuk mereka setelah itu. Ini adalah nas
kata-kata Imam Syafie dan disepakati oleh alim ulama’ pengikut mazhab
syafie”.Seterusnya ditambah lagi pada tempat
lain. “Sekiranya mereka mengkhatam al-Quran di atas kubur, ia adalah
lebih afdhal”. Pendapat yang sedemikian juga
disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya ‘Al-Azkar’ bab bacaan
setelah dikebumikan mayat (m/s 173) dan ‘Riyadus
Salihin’ bab doa’ untuk mayat setelah dikebumikan (m/s 290) . Diriwayatkan
juga secara mutawatir bahawasanya Imam
Syafie r.a. sewaktu menziarah kubur Imam Lais bin Saad r.a, beliau
membaca al-Quran di situ sehingga khatam :
disebutkan dalam Syarah Ihya’ yang berjudul ‘Ittihafus Sadah Al-Muttaqin’
karangan
Al-Hafiz Azzabidi juz. 10( m/s 412).
Syeikh Zakaria al-Ansari r.a menyebut pendapatnya dalam kitabnya’
Syarah Raudut Talib’ juz. 2 (m/s 412).
Syeikh Syamsuddin ar-Ramli r.a menyatakan sampainya pahala bacaan kepada
mayat jika diniatkan sedemikian, ini
adalah pendapat ketiga-tiga mazhab. Imam Ibnu Solah r.a.menyokong pendapat
yang sampai setelah di doakan, :ruj.
‘Nihayatul Muhtaj’ juz. 6 (m/s 93). Al-Hafiz Taqiyuddin as-Subki r.a
menyatakan dengan panjang lebar jawapannya
menyokong pendapat ini dalam kitabnya ‘Qada ul Arab Fi
As Ilati Halab’ (m/s 45) Imam Ar-Rafi’e menyokong
pendapat ini dalam kitabnya ‘ Fathul Aziz Syarahul Wajiz’ juz. 5( m/s
249).Sila rujuk kitab An naf’ul Amim( m/s
18-27).
Seterusnya Imam Nawawi r.a menyebut dalam ‘al-Azkar’ pendapat yang terpilih hendaklah pembaca mendoakan setelah selesai bacaan itu dengan lafaz “Ya Allah sampaikanlah pahala bacaan yang telah ku baca kepada si fulan , rujuk al-Azkar bab Ma Yanfa’ul Mayyit Min Qauli Ghairih (m/s 215).
Apabila saya meneliti syarah Nawawi kepada Sohih Muslim
(juz. 1 hlm. 90) yang beliau sebutkan begitu juga
tafsir ‘al-Khazin’ termasuk kedua-dua ‘Hasyiah Tafsir Jalalain’ iaitu
‘Hasyiah Sowi dan Hasyiah Jamal’ saya dapati ada
pendapat kedua yang menyatakan sampainya pahala bacaan itu yang tidak
beliau sebutkan. Demikian juga beliau ada
mengatakan Imam Nawawi juga di dalam kitab ‘Takmilatul Majmu’ Syarah
Muhazzab’ menyatakan “
.......................”(rujuk SUKEJ Dis 98),
di sini satu lagi fakta kurang tepat yang beliau kelirukan kerana
setakat yang
saya ketahui, Imam Nawawi tidak pernah mengarang kitab Takmilatul Majmu’
kerana kitab tersebut dikarang oleh
Imam Subki r.a dan Syeikh Muhammad Najib al-Mutiei r.a. Imam
Nawawi r.a. hanya mengarang kitab Majmu’ Syarah
al- Muhazzab yang terdiri dari 9 jilid menurut cetakan Maktabah al-
Irsyad,sementara Takmilatul Majmu’ bermula dari
jilid 10 hingga 23.
Setelah itu saya meneliti (juzuk 10: hal. 426) pada kitab ‘Takmilatul
Majmu’ seperti yang beliau sebutkan,
tetapi saya tidak temui langsung apa yang beliau utarakan itu. Ini
mungkin disebabkan kelainan cetakan kitab yang saya
rujuk dan beliau rujuk. Namun begitu, setahu saya Imam Subki
r.a sendiri menyokong pendapat sampainya pahala
bacaan melalui fatwanya :ruj. Nafu’l A’mim (m/s 23 hingga 27).
Pendapat al-Hafiz Ibnu Kathir r.a pula telah dijawab oleh al-Hafiz
Abdullah Siddiq al-Ghummari dalam kitabnya ‘Itqanus Suna’h’ (m/s 78 hingga
83) cetakan Maktabah al-Kaherah, dengan katanya pendapat tentang Rasulullah
S.A.W tidak pernah menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sedemikian dan
para sahabat tidak pernah melakukannya adalah tertolak dengan dalil-dalil
yang beliau sebut pada (m/s 84-89) sebahagiannya telah saya sebut dalam
penjelasan saya yang lalu. Begitu juga hadis yang disebutkan oleh Imam
Ibnu Qaiyyim r.a kitabnya ‘Arroh’ bahawasanya golongan al-Ansor berulang
alik ke kubur
seseorang yang meninggal dunia di kalangan mereka untuk membaca al-Quran
di sisinya. Sementara dakwaannya
tentang ibadat(mendekatkan diri kepada Allah) hanya terbatas yang ada
nas-nasnya dan tidak boleh
dipalingkan(digunakan) dengan qias-qias dan pendapat-pendapat,dakwaan
ini adalah amat bercanggahaan dengan apa
yang ditetapkan oleh ulama’ ahli usul dan fekah.
Imam Ibnu Kathir r.a menyatakan diakhir kata-katanya dalam tafsir beliau
yang bermaksud,
“ Adapun doa’ dan sedekah, kedua-duanya adalah di sepakati
oleh ulama’ tentang sampainya kepada si mati dan
terdapat dalam nas syarak”. Kata-kata Imam Ibnu Kathir
r.a ini merupakan hujah bahawa doa’ yang dibaca setelah
bacaan al-Quran dan setelah majlis tahlil adalah disepakati oleh ulama’
tentang kemanfaatannya, antara dalilnya ialah
ayat 10 daripada surah al-Hasyr dan surah Muhammad ayat 19.
Buat renungan pembaca sekalian, segala maklumat yang diutarakan
oleh alim ulama’ salaf dan khalaf
termasuk ulama’ mua’sir akan disusun dalam sebuah risalah ringkas
sebagai rujukan kita yang sedang mengamalkan
amalan sedemikian... insya Allah.
SUKEK: Untuk terakhirnya, apakah pesanan ustaz untuk
pembaca SUKEK dan pelawat homepage ini ?
US. AMIN: Di kesempatan ini , saya ingin mengutarakan pendapat
salah seorang ulama’ mazhab Maliki yang bernama
al-Allamah Syihab al-Qurafi r.a yang menyatakan dalam kitabnya
‘al-Furuq: juz 3 (m/s 193). Sesungguhnya
mengadakan tahlil sepertimana kebiasaan yang dilakukan oleh umat Islam
pada hari ini adalah amat wajar dan mestilah
diharapkan keberhasilannya , kerana Allah S.W.T bersifat Pemurah dan
Ihsan serta kasih sayang yang amat luas.
Seterusnya saya berpesan pada diri saya dan pembaca sekalian agar sama-sama
berusaha memahami al-Quran
dan Sunnah sedaya upaya yang mungkin. Ini kerana al-Quran yang diturunkan
adalah kitab pembawa manfaat
kepada yang masih hidup dan yang sudah mati. Marilah kita beramal dengannya
dan menyokong seluruh golongan
yang hendak melaksanakan hukum al-Quran , baik individu, kumpulan maupun
parti politik di atas muka bumi Allah
ini. Justeru itu, kita sebagai pelajar agama dan bidang-bidang lainnya
perlu menyedari dalam mengejar matlamat agar hukum Allah terlaksana pada
diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh pelusuk dunia , di mana
sudah menjadi perkara biasa perselisihan pendapat dalam masalah furu’ tidak
boleh dijadikan faktor untuk memisahkan hubungan kasih sayang sesama saudara
seislam.
Buat akhirnya, saya mengharapkan teguran membina serta pembetulan terhadap
kesalahan yang terdapat dalam
jawapan saya yang berpengetahuan cetek ini daripada pembaca sekalian,
agar dapat saya memperbaiki risalah yang akan saya terbitkan nanti.
Segala yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T jua, segala yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri. “Ya Allah kurniakanlah kepada kami sekalian kebaikan di dunia dan diakhirat Peliharalah kami dari siksa api nerakamu”
Susunan oleh : EL-FaYYuM