SYEIKH
SHA`RAWI
Pemergiannya
Satu Kehilangan Besar Kepada Umat Islam
SYEIKH Muhammad Mutawalli Sya’rawi dilahirkan di Kampung
Daqadus berdekatan bandar Mait Ghamr
di wilayah Daqahliyyah pada 15 April 1911. Ketika berusia
10 tahun beliau telah menghafal al-quran.
Beliau merupakan graduan ijazah pertama lepasan Universiti al-Azhar
pada tahun 1941 dari Fakulti Bahasa
Arab. Mendapat ijazah pendidikan pada tahun 1943 dan berjaya memasuki
Maktab Perguruan dengan
mendapat tempat pertama serta terpilih menjadi guru di Tanta. Pada
tahun 1950 telah dilantik mengetuai
rombongan tenaga pengajar al-Azhar ke Universiti Malik Abd. Aziz,
Arab Saudi dan bertugas sebagai
pensyarah di sana dalam Fakulti Syariah selama 17 tahun. Setelah
itu dihantar ke Algeria selama 5 tahun.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Wakaf pada tahun 1976
selama hampir dua tahun. Pada tahun
1988 telah berhasil mendapat anugerah ijazah kedoktoran dalam bidang
sastera di dua buah Universiti
Mansurah dan Manufia.
Tanggal 17 Jun 1998 mencatat kenangan pahit kepada umat Islam
di Mesir khasnya dan seluruh umat
Islam di dunia lantaran kehilangan seorang tokoh ulama besar yang
dikagumi lantas dengan itu telah
menenggelamkan khazanah ilmu juga sebagai mujaddid ke-20 ke perut
bumi tanpa pengganti.
Begitulah nostalgia keagungan ulama. Hari ini dunia kekontangan
ulama seperti beliau yang tegas dan
berani menegakkan kebenaran. Begitulah sunnatulllah yang mencabut
kembali segala ilmu yang ada pada
hambanya dengan mematikan para ulama. Kini seorang demi seorang
pergi meninggalkan kita buat
selamanya. Kehilangan mereka bagai tiada pengganti . Patahnya mereka
seakan tiada tunas yang bakal
tumbuh kembali. Meskipun senario generasi pelapis ulama tetap wujud
namun pengganti hari ini tidaklah
seunggul kegemilangan ulama’ terdahulu.
Syeikh Sya’rawi yang selalu kita saksikan kemunculannya di
kaca t.v dan alunan suaranya di siaran
radio telah kembali menemui ilahi. Peninggalan beliau meninggalkan
sejuta kenangan dan khazanah ilmu
sama ada dari segi penulisan maupun penyampaian ilmunya yang dirakam
yang diputarkan untuk tontonan
hingga ke hari ini. Itulah antara warisan peninggalan beliau kepada
umat Islam meskipun jasadnya telah
bersemadi di perkampungan beliau di Daqadus.
Diceritakan bahawa dua hari sebelum kematiannya beliau telah
mewasiatkan agar menyediakan kubur
untuk beliau. Sehari sebelum pemergiannya pada malam tersebut beliau
telah menghimpunkan seluruh ahli
keluarganya itulah saat-saat manis dan terakhir beliau bersama
kaum keluarganya. Beliau sempat berbual
mesra bersama anaknya anaknya sambil bertanya, :
“ Tahukah kamu, kenapakah Tafsir Jalalain itu dianggap tafsir
muktabar kepada umat Islam?”. Anak-
anaknya tidak menjawab dan ada yang berkata, : “ Tidak tahu.” Lalu
dijawab, : “ Kerana ia dikarang oleh dua
imam .” Lalu Imam Sya’rawi meneruskan kata-kata bagaikan menaruh
harapan tinggi bahawa tafsir al-Quran
beliau baru mencecah ke juzuk 29 iaitu berbaki sejuzuk lagi belum
ditafsirkan dalam siri kuliah penyampaian
beliau. Namun begitu beliau sempat mengarahkan agar diambil rakaman
tafsir juzuk tersebut yang pernah
ditafsirkan oleh beliau sewaktu di siaran Radio Makkah satu ketika
dahulu.
Menurut doktor yang merawatnya berkata, : “ Beliau
mengidap penyakit lelah ditiup udara. Sejak itu
beliau dimasukkan ke hospital selama 6 hari di wad bahagian sakit
tulang kemudian 4 hari darinya di wad
penjagaan rapi. Sebelum itu beliau pernah ditawarkan oleh Raja
Fahd Arab Saudi untuk mendapat rawatan
rapi di Paris tetapi beliau menolak dan menyatakan impiannya
untuk mati di sisi keluarga dan tanahairnya.
Setelah keadaannya kian beransur pulih, pihak
hospital membenarkan beliu dibawa pulang ke
rumah. Akan tetapi Allah lebih mengasihi beliau setelah kira-kira
jam tiga pagi beliau telah kembali ke
rahmatullah di rumah beliau di Giza. Jenazah beliau telah dimandikan
oleh Dr. Umar Hashim dan
disembahyangkan oleh jutaan umat Islam yang datang ke situ dan
diimami oleh Syeikhul Azhar Dr.
Sayyid Tantawi pada jam 4:45 petang .
Kehilangan beliau turut dirasai oleh orang bukan Islam seperti
paderi-paderi Kristian hingga
kedengaran loceng di gereja-gereja mereka menyatakan kehilangan
ulama’ besar tersebut. Terdapat juga di
antara mereka yang turut bersama mengiringi jenazah beliau ke tempat
pengkebumian.
BERJIWA ZUHUD DAN PEMURAH
Syeikh Sya’rawi terkenal dengan sikap pemurahnya dan mudah
menghulurkan bantuan. Oleh itu,
rumahnya tidak pernah kosong dari diziarahi orang ramai yang memerlukan
pertolongan, justeru pintu
rumahnya tidak pernah ditutup terhadap orang ramai. Pernah dikatakan,
“sekiranya kamu berjumpa dengan
Imam dia akan menerima kamu sepertinya dia mengenal kamu sejak
lama ”. Beliau tidak pernah meminta
pengawal peribadi. Sekiranya ada yang datang menziarahi dan dihalang
oleh pengawal , beliau akan
menjemput masuk. Akan tetapi malang bagi penulis tidak berkesempatan
bertemu semasa hayatnya di
kediaman beliau yang berdekatan dengan Masjid Saidatina Sakinah
lantaran dihalang oleh pengawal yang
menjaga tempat kediaman beliau tersebut.
Semasa beliau mendapat rawatan di hospital, seorang perempuan
telah datang dan menceritakan
bahawa dia telah bermimpi melihat Rasulullah S.A.W memeluk Syeikh
Sya’rawi dengan kuat dan
menyambut dengan penuh kasih sayang.
Seorang ahli perniagaan iaitu Muhammad ‘Arif yang merupakan
orang terdekat dengan Syeikh
Sya’rawi menceritakan semasa mereka berdua melawat perkuburan al-Baqi’
di Madinah dan ketika mereka
mendekati perkuburan Syeikh Muhammad Ghazali beliau mendengar Syeikh
Sya’rawi berkata : “Kita akan
bertemu tidak lama lagi “,sambil menangis seakan tidak sabar menantikan
ajalnya yang kian hampir, lalu
katanya lagi , “Aku telah menamatkan al-Quran tetapi tidak menyempurnakannya”
. Bermaksud bahawa
beliau telah menamatkan tafsiran al-Quran akan tetapi Ma’ani al-Quran
sentiasa baru dan tetap wujud.
Beliau juga banyak mendapat sumbangan dari pelbagai pihak
tetapi semua itu telah disalurkan ke
al-Azhar dan disumbangkan kepada seluruh umat Islam dan kepada
orang-orang yang memerlukan.
Diceritakan tentang kezuhudan beliau, sewaktu pelantikannya
sebagai Menteri Wakaf di zaman
Presiden Anwar Sadat, beliau enggan duduk di kerusi pejabatnya
tetapi hanya duduk di kerusi berhampiran
pintu luar sehingga apabila datang Presiden Anwar Sadat menanyakan
beliau kenapa demikian, dengan
pantas jawabnya ringkas, : “Supaya mudah aku melompat keluar
dari sini apabila aku dilucutkan jawatan ini
nanti.” Itulah qudwah yang ditunjukkan oleh ulama
yang tidak menginginkan pangkat dan kedudukan.
Pernah ditanyakan, kenapakah beliau tidak lagi berpakaian
rasmi al-Azhar, beliau menjawab bahawa
memang beliau amat menyukai pakaian rasmi al-Azhar akan tetapi
setelah beliau dituduh ingin merebut
jawatan Syeikhul Azhar maka terpaksa beliau meninggalkan pakaian
tersebut untuk selamanya.
Hal ini terjadi bila mana beliau telah mengeluarkan saranan
kepada Presiden Anwar Sadat mengenai
ciri-ciri orang yang layak untuk melantik Syeikhul Azhar. Rentetan
daripada itu, orang ramai beranggapan
beliau menginginkan jawatan tersebut. Lantaran itu demi membuktikan
keikhlasan beliau mengeluarkan
saranan itu maka terpaksa beliau menanggalkan pakaian al-Azhar
yang disayanginya.
KAHWIN DI USIA MUDA
Beliau pernah bercerita bahawa beliau berkahwin sejak
di Ibtidaai Azhar lagi iaitu sebelum
memasuki Maahad Thanawi Al-Azhar. Ini kerana semasa beliau berada
di rumah sewa penempatannya di
Kaherah, tuan rumah tersebut mempunyai seorang anak perempuan dan
meminta beliau mengajarkan
anaknya tersebut. Suatu hari ketika beliau mengajar anak perempuan
tersebut, datang ayahnya dari kampung
berziarah dan mendapati mereka berdua di situ. Meskipun ketika
itu beliau masih di alam remaja tetapi atas
dasar menjaga diri dan menjauhkan beliau dari bahaya fitnah maka
setelah beliau pulang ke kampung,
ayahnya terus melangsungkan resepsi perkahwinannya. Itulah qudwah
terbaik yang ditunjukkan oleh seorang
ayah yang prihatin menjaga kemaslahatan agama anaknya, yang berpandangan
jauh dan kuat memegang asas
agama dan benar-benar mentauladani sunnah rasul, meskipun Syeikh
Sya’rawi belum berhasrat untuk
berkahwin lagi ketika itu.
AKTIF BERPOLITIK
Beliau bukan sekadar mengajar dan menyampaikan kuliah ilmu
begitu sahaja tanpa melibatkan diri
dalam arena politik. Diceritakan ketika beliau menjawat jawatan
sebagai Menteri Wakaf, beliau telah
menempuh pelbagai pertarungan dan pertembungan sengit dengan anggota
tertinggi yang cuba menguasai
Kementerian Wakaf akan tetapi beliau berjaya menyelamatkan situasi.
Antara sebab perletakan jawatan
beliau tersebut ialah kerana bantahan beliau terhadap undang-undang
Hal-Ehwal Syakhsiah Mesir.
Beliau juga pernah dipenjarakan selama sebulan akibat mendeklamasikan
puisi yang mengandungi
kemarahan terhadap perkara yang menimpa ke atas Mustafa Nuhas di
Majlis Memperingati Saad Zaghlul.
Pernah diceritakan ketika beliau berada di Arab Saudi sekitar
tahun 50 dan 60-an beliau mendengar
keinginan Raja Arab Saudi ingin mengubah kedudukan Maqam Saidina
Ibrahim a.s. Lantas beliau
mengutuskan surat kepada raja tersebut dengan mengatakan bahawa
setiap benda yang suci di dalam tanah
haram mestilah berada di tempat asalnya kerana sesungguhnya
benda ibadat itu dari ibadat.
Pada malam upacara mengucapkan takziah di atas kematian beliau,
penulis sempat hadir di majlis
tersebut yang diadakan di perkarangan Masjid Hussain. Turut hadir
di majlis tersebut ialah Syeikhul Azhar,
Menteri Wakaf, Mufti, Perdana Menteri Mesir, para masyaeikh dan
pensyarah-pensyarah al-Azhar, para
pelajar dan orang ramai.
Syeikhul Azhar Dr. Muhammad Sayyid Tantawi di dalam ucapan
takziah beliau berkata,: “
Sesungguhnya tiada bahasa yang mampu dan cukup untuk menggambarkan
kesedihan yang dirasai atas
pemergian beliau yang menyelubungi dunia dengan ilmu Islamnya
yang bermanfaat sesungguhnya beliaulah
ikutan kita dalam akhlak ”.
Mufti Mesir di dalam ucapannya berkata,: “ Imam kita
ini adalah mujaddid. Mempunyai budi pekerti
dan sopan santun yang baik Beliau merupakan mujaddid yang
tidak mengenal erti putus asa. Beliau sentiasa
ikhlas kepada Allah dengan ilmunya dan amalannya. Tidak takut
dengan ancaman mahupun dugaan. ”
PUNCA DERITA DI AKHIR HAYAT
Ketika disoal punca beliau mengidap lelah tersebut beliau
menjawab,: “ Hal ini berpunca daripada
kesan merokok satu ketika dahulu dan pencemaran udara yang berlaku.
Namun begitu, pendapat beliau
mengenai rokok tetap tegas,: “ Merokok haram selagi mana membawa
mudharat. Sekiranya ada yang
mengatakan ini adalah adat kehidupan yang mesti, bagaimana pula
ada yang boleh hidup tanpa merokok !?. ”
Kini Maulana Imam asy-Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi telah
pergi buat selama-lamanya.
Pemergiannya telah meninggalkan pelbagai khazanah ilmu yang perlu
dipelajari seperti kitab-kitab tafsir
beliau, ‘Faidhul Rahman Fi Mu’jizatil Quran’, ‘Fatawa Kubro’
dan lain-lain lagi.
Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan
di sisi para auliyak Allah dan para
kekasihnya..................Amin.
al-Fatihah......
Antara Himpunan Fatwa
Syeikh Sya’rawi
Soalan: Apakah hukum bersalaman dan memegang tangan
perempuan ?
Jawapan : Apa perlu itu semua ? Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w iaitu orang yang memegang amanah
ummah ini dan juga seorang rasul yang mana dirinya mestilah lebih
diutamakan oleh orang-orang mukmin
lebih daripada diri mereka sendiri, ketika dalam Perjanjian Aqabah
baginda telah bersalaman dengan orang lelaki
dan ketika berbai’ah dengan perempuan baginda hanya memadai dengan
menerima bai’ah sahaja. Syeikh
Sya’rawi juga berkata ketika menolak dakwaan orang-orang yang mengatakan
bahawa bersalaman dengan
perempuan adalah darurat yang sudah menjadi adat ! Sesungguhnya
perkataan sedemikian menepati
sesetengah pendapat ulama yang mengatakan kita wajib hidup dalam
keadaan semasa. Sepatutnya apa yang
mesti mereka sebut ialah kita mesti menghidupkan agama kita.
Soalan : Apakah nasihat Imam kepada anak-anak
muda sekarang secara umum ?
Jawapan : Saya menasihati mereka dengan mengajak
mereka meneliti kisah-kisah orang yang
berpaling dari agama Allah Ta’ala, mereka ini begitu masyhur. Cuba
perhatikan di manakah mereka
mengakhiri hidup mereka ? Adakah mereka mengakhiri hidup mereka
dengan menjauhi diri dari agama
Allah ataupun mereka mengakhirinya dengan kembali kepada agama
Allah Ta’ala. Jawapannya mereka
mengakhiri hidup mereka dengan kembali tunduk kepada agama Allah.
Tetapi siapakah yang dapat
menjamin bahawa umur terus berpanjangan hingga menjamin kita
untuk menuju kepada rahmat Allah
Ta’ala. Oleh kerana itu mestilah kita menuju kepada Allah selalu.
Orang-orang yang berpaling dari agama Allah akan mengakhiri
hidup mereka dengan kembali
kepada agama Allah Ta’ala. Sesungguhnya mereka tidak mendapat kerehatan
melainkan kembali
mendampingi Allah Ta’ala. Dan tanyakan kepada mereka siapakah yang
akan menjamin untuk mereka
terus kekal hidup hingga membolehkan mereka untuk bertaubat kepada
Allah.s.w.t.
Penterjemah Nik Ibrahim
Olahan bahasa Mirhas
Home
MKKK
all right reserved 1999
Created
by WildaniansCopyrightCreative