Ada juga manusia hari ini membangkang kiranya kita katakan kepadanya
"Saudari, bertaubatlah segera atas segala dosa-dosamu, jangan mengharapkan
pengampunan Allah sahaja tanpa beramal ibadah pada Nya, kerana Allah itu
Maha Adil. Sesiapa dari hamba-hamba yang berbakti kepadaNya akan
diberikan balasan baik dan begitulah sebaliknya."
Tiba-tiba ia menentang nasihat tersebut dengan katanya sambil mencabar;
Bukankah Tuhan itu Maha Kaya Raya, bukankah Dia tiada berhajat kepada
amalan hambaNya? Allah Taala tiada bermudharat dengan dosa hamba-hambaNya
dan tiada bermenafaat dengan ketaatan hamba-hambaNya?
Sebenarnya bagi sesiapa yang berpandangan demikian, maknanya dia telah
menganiaya dirinya sendiri, ia telah menipu dirinya dan mengheret nafsunya
ke arah menentang Allah tanpa sedar. perkara baik atau buruk yang
kita lakukan di dunia ini adalah semuanya untuk kita, bukan untuk Allah
(jangan keliru). Allah sudah cukup segala-galanya. Ketahuilah
kita sebenarnya orang fakir yang berhajat kepada amal soleh untuk menyelamatkan
diri dari menjadi bahan bakaran api neraka kelak.
Kiranya ada golongan yang mengatakan kita tidak perlu beramal banyak-banyak,
cukuplah ala kadar sahaja, bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Pemurah lagi
Maha Pengampun dan seringkali melimpahkan rahmat atas hamba-hambaNya? Harap
sajalah rahmat dari Allah, Allah akan beri....
Kalau begitu kita semua duduk sahajalah tidak payah buru sijil itu
dan ini, tidak payah berusaha kerja sana sini mencari rezeki. Kenapa?
Kerana berpegang kepada jaminan Allah bahawa Allah akan memberi rezeki
kepada sekelian makhlukNya, bukankah segala perbendaharaan langit dan bumi
di dalam genggamanNya. Tentu suara ramai akan membangkang dan tidak
setuju lantas berkata, "Eh, mana boleh jadi, mana boleh tunggu rezeki datang
menggolek, kenalah berusaha dan bekerja!"
Memang tepat sekali kata-kata di atas kerana kita lihat manusia hari
ini begitu ghairah dan berebut-rebut memburu sijil dan kelulusan.
Untuk apakah itu semua? Tidak lain dan tidak bukan untuk mendapat
kerja yang 'standard' dan pangkat yang tinggi serta gaji yang lumayan.
Tiada siapa yang dapat menafikan itu semua, lihatlah kebanyakan hari ini
seluruh universiti-universiti dalam dan luar negeri ataupun pusat-pusat
pengajian tinggi melimpah ruah dibanjiri manusia yang sedang menimba ilmu
dan menunggu segulung ijazah untuk bekalan mereka nanti (lebih-lebih lagi
bekalan di hari tua kelak).
Malah yang lebih parah lagi, ada yang mengatakan:
"Kalau saya tidak lulus peperiksaan atau tidak dapat sijil yang
baik, maka akan gelaplah masa hadapan saya."
Begitu juga lah dengan dosa kita, mestilah kita berusaha bersungguh-sungguh
bertaubat dan beramal soleh untuk mendapatkan rahmat dan pengampunan dari
Allah. Mana boleh kita berserah diri begitu sahaja sedangkan dosa
kita banyak? Sesuatu perkara hendaklah berusaha dahulu, setelah itu barulah
berserah diri kepada Allah. Itulah pegangan kita selama ini yakni
pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Yakinlah bahawa janji-janji Allah itu benar, ini jelas menurut sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari:
"Suatu hari Muaz bin Jabal membonceng di belakang Rasulullah di atas
himar, mendadak Rasulullah bertanya Muaz, " Ya Muaz, tahukah kamu apakah
hak Allah yang diwajibkan atas hambaNya? Dan apakah hak hamba yang akan
diberikan Allah?"
Muaz menjawab, "Allah dan rasulNya yang lebih mengetahuinya,"
Maka Rasulullah segerabersabda,"Hak Allah yang diwajibkan atas sekelian
hamba ialah menyembahNya dan tidak menyengutukanNya dengan sesuatu dan
hak hamba akan diberikan Allah iaitu tidak akan menyiksa orang yang tidak
menyengutukanNya."
Allah beri lagi jaminan rahmat pada mereka yang mengharapkan maghfirah
Allah sambil beramal, dengan firmanNya dalam surah Az Zumar:10, maksudnya:
"Sampaikanlah, hai hamba-hambaKu yang beriman, berbaktilah kepada TuhanMu,
buat mereka yang kerjakan kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan bumi
Allah ini maha luas..."
Walaupun kita selaku hamba Allah yang bergelumang dengan dosa, tenggelam
berendam maksiat dan kemungkaran tetapi janganlah kita berputus asa dari
mengharap maghfirah dan rahmat dari Allah, asalkan kita bertaubat sungguh-sungguh
dan beramal sekadar yang termampu InsyaAllah, Allah tidak akan sesiakan
perbuatan kita.
Kesimpulannya, kita hendaklah beramal dan beriman pada Allah jika ingin
selamat dunia dan Akherat. Berusaha lah membersihkan hati dan jiwa
kerana orang yang kotor jiwanya kelak akan diazab Allah dengan azab yang
maha pedih lagi mengerikan.
Tiada seorangpun insan di dunia ini yang tiada melakukan dosa melainkan
para Anbia' sebab itu kita mestilah akui secara jujur bahawa setiap diri
tentu melakukan dosa. Cuma bezanya dosa besar atau kecil. Berbahagialah
bagi mereka yang seringkali mengharapkan keampunan Allah disertai amal
takwa.
Berdoalah agar kita semua diampunkan Allah atas segala dosa dan maksiat
yang dilakukan selama ini.
Teguran adalah
diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel
dari pembacaan saya).
Tajuk Panduan lain yang dalam koleksi saya:
- Awasilah
Siapa Kawan Anak Kita.
-
Tidak Hina
Orang Yang Merendah Diri.
- Utamakan
Sembahyang Qadha' Dari Sembahyang Sunat.
- Diamnya
Berfikir, Kata-katanya Zikir
- Didiklah
Anak Berkata Benar.
- Sendiri
Dalam Nikmat, Sendiri Dalam Cemas.
- Memandu
Muhajahadatunnafsi.
- Sombong
Pusaka Iblis.
- Agungkan
Tuhanmu.
-
Didiklah Anak Berkata Benar.