Panduan Hidup
 




DIDIKLAH ANAK BERKATA BENAR

Sebagai peringatan buat ibu-ibu dan para pendidik sekelian, eloklah kita teliti pesanan dan wasiat dari junjungan Rasulullah SAW untuk kita semua jadikan panduan dan pedoman agar kita dapat menghayati kehidupan Islam yang sebenar dan berlandaskan sunnah Rasul dan kitabullah SWT. Semuanya bercita-cita untuk hidup sebagai orang yang mulia, keluarga yang mulia lagi bertakwa.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Baihaqi dari Abdullah bin Amir r.a.
berkata:
"Ibu ku telah memanggilku pada suatu hari ketika itu Rasulullah ada bersama kami, ibuku berkata padaku; Mari , mak nak bagi pada kau! Rasulullah pun bertanya pada ibuku, apa yang kamu mahu berikan pada Abdullah? Ibuku menjawab: Aku ingin berikan seulas kurma padanya.
Rasulullah pun bersabda: Jika sekiranya kamu tidak memberikan sesuatu kepada nya nescaya tertulis atasmu satu pembohongan."
Kebanyakan ibu bapa sekarang ni secara tak langsung sering melakukan pembohongan kepada anak-anak mereka. Apa tidaknya, dalam usaha memujuk anak-anak kita pernah berbohong padanya.  Sewaktu menjawab pertanyaan dan melayani perangai anak-anak kita kadang-kadang kita terpaksa berbohong pada mereka.
Kita lihat bagaimana solafulsoleh mendidik anak-anak mereka agar sentiasa bercakap benar dan mereka sentiasa berpesan kepada anak-anak mereka agar berakhlak dengan sifat benar ini.  Kita lihat bagaimana peribadi dan contoh yang ada pada Al Alim Ar Rabbani As Syeikh Abdul Qadir Al Jilani rh .  Beliau berkata:  Aku telah diajar dalam semua perkara, ketika mana saja agar sentiasa bersifat benar.
Oleh itu aku telah keluar dari Kota Mekah menuju ke Baghdad untuk menuntut ilmu.  Ibuku telah membekalkan aku sebanyak empat puluh dinar sebagai keperluan makan minumku.  Ibuku berpesan supaya aku berakhlak dengan sifat benar.  Bila rombongan kafilahku sampai ke bumi Hamdan, sekumpulan perompak telah meyerbu dan merompak kafilah kami.  Salah seorang dari perompak itu telah datang kepadaku dan bertanya: "Apakah yang ada pada kamu?"
Aku berkata,"empat puluh dinar." Perompak itu menyamgka aku memperolokkannya lantas dia meninggalkan aku.
Bagaimanapun aku telah diperhatikan oleh perompak lain.  Dia juga bertanya kepadaku, "Apa yang kau ada?"
Aku pun memberitahu apa yang ada padaku.  Perompak itu telah membawa aku menemui ketuanya.  Ketuanya bertanya kepada ku, dan aku menceritakan keadaanku yang sebenar.  Ketua perompak itu berkata:"Apa yang menyebabkan kamu berkata benar?"
Aku berkat: "Ibuku telah berpesan agar aku berkata benar, sesungguhnya aku amat takut untuk mengkhianati pesannya."

Apa agaknya tindakan perompak tersebut.  Dia ketakutan lantas berteriak dan mengoyak-ngoyakkan bajunya sambil berkata, "Kamu takut mengkhianati pesan ibumu, sedangkan aku tidak takut mengkhianati pesan Allah!"
Ketua perompak lantas memerintahkan orang-orangnya mengembalikan barang-barang yang dirampas dari kafilah itu. Sambil dia berkata,"Aku bertaubat kepada Allah melalui engkau!"
Perompak yang lain pun berkata,"Engkau ketua kami dalam merompak, kini jugalah ketua kami dalam bertaubat.!"
Merekapun bertaubat beramai-ramai dengan berkat sifat benar dan jujur yang ditunjukkan oleh Syeikh Abd. Qadir Al Jailani itu.
Demikianlah besarnya peranan seorang ibu itu dalam mencorak perangai dan watak anak-anak.  hasil didikan yang benar, maka anak itu berjaya menjadi seorang yang dikagumi orang lain.
Jadi sebaiknya lah kita mengelakkan diri dari berbohong pada anak-anak walaupun secara tidak disedari.  Itulah kita perlu lebih berhati-hati dalam soal pendidikan ini.  Jangan kita ambil sambil lewa sahaja. "Apalah nak dirisaukan,besar nanti tau lah dia mana yang baik dan mana yang buruk."  Ini tidak betul caranya.  Perkara yang baik perlu kita tunjuki dan contohkan selalu pada anak-anak dan perkara yang tidak baik itu cubalah kita elak-elakkan dari berlaku.  Salah satu sifat anak-anak ini, memang suka mengikut akan perkara yang tidak elok. Lagipun mereka ini ibarat kain putih, sekali tercalit dengan kekotoran, susahlah untuk dihilangkan.
Berhati-hati selalu dalam kita membuat tindakan supaya kesannya nanti tidak memburukkan keadaan.
"Ummi, nak buah epal.." Agaknya itulah salah satu dari ragam anak kita pada suatu malam. Apakah tindakan kita untuk memujuknya?  Maklumlah, mana kita hendak dapatkan buah epal pada malam hari.
Kebetulan suami kita pula tiada di rumah.  Tindakan kita tentu begini, kita beritahu anak itu: "Diamlah sayang, esok ayah akan belikan ya!" Tetapi malangnya esok kita tidak memenuhi permintaannya itu, maka kita telah memungkiri janji dan kita telah mengajar anak-anak untuk berbohong. Yelah, kita mungkin tidak ingat akan janji tersebut, tetapi bagi seorang kanak-kanak, memang dia berkira akan hal itu.  Ini merupakan satu perkara yang akan dituntut nya nanti.
Sebaik-baiknya kita beritahu perkara sebenarnya.  Kalau dia tidak mahu berhenti menangis atau terus merajuk juga, cubalah pujuk dengan cara yang lain seperti ubah topik supaya dia dapat melupakan perkara yang dia ingininya. Kita layani dengan bercerita atau menunjukkan sesuatu yang lain yang boleh mengubah fikirannya ke situ.
Rasulullah melarang kemudian mengingatkan lagi kepada para pendidik dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Abi Dunya, dari Abu Hurairah r.a. dari rasulullah SAW bersabda:

Barang siapa berkata pada anaknya,"Mari nak..ambil ni! Tetapi dia tidak memberinya sesuatu..maka sesungguhnya itu satu pembohongan!"
Kesan didikan Rasulullah sebagai "mursyid yang kamil" kepada pengikutnya kita temui pula peribadi-peribadi yang agung yang lahir dari didikan dan asuhan ini.


Teguran adalah diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel dari pembacaan saya).
 

MY EMAIL

Tajuk Panduan lain yang dalam koleksi saya:

-     Awasilah Siapa Kawan Anak Kita.
-    Tidak Hina Orang Yang Merendah Diri.  Baru
-    Utamakan Sembahyang Qadha' Dari Sembahyang Sunat.
-    Diamnya Berfikir, Kata-katanya Zikir     Baru  
-    Didiklah Anak Berkata Benar.
-    Sendiri Dalam Nikmat, Sendiri Dalam Cemas. Baru
-    Memandu Muhajahadatunnafsi. Baru
-    Sombong Pusaka Iblis.
-    Agungkan Tuhanmu.
-     Mengharapkan Keampunan Tanpa Amal.
 



 
Get Free Homepage From  Tripod 1