SEJARAH
PENUBUHAN MAJLIS KEBAJIKAN KELUARGA KEDAH
Tanggal 15 Oktober 1968 merakamkan
detik bersejarah bagi anak-anak Jelapang Padi di Perlembahan Nil ini dengan
tertubuhnya Majlis Kebajikan Keluarga Kedah ( MKKK ).
Penubuhan ini adalah hasil usaha gigih perintis 13 orang anak muda
Jelapang Padi yang telah mengadakan kesepakatan di
dalam satu pertemuan mereka di rumah no. 6 Jalan Saad Yusuf Al-Fayyumi,
Medan Gaish, Abbasiah, Kaherah dan rumah
tersebut telah dijadikan sebagai pejabat utama persatuan tersebut.
Pengasas persatuan ini ialah Sheikh Ghazali bin Haji Abdul
Rahman ( Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sekarang
ini ) dengan kerjasama 13 pimpinan pelajar.
Dalam era 70-an MKKK telah mengorak langkah dengan memindahkan
pejabatnya ke alamat no 6, tingkat 4, Jalan Khalid
Sharwat, Opera, Kaherah. Pejabat tersebut yang berupa apartmen
telah dibeli hasil usaha gigih dari ahli MKKK ketika itu dan pembelian
tersebut dibuat atas nama Tuan Haji Abdul Manaf bin Haji Ahmad ( Bekas
ADUN Pantai Merdeka ).
Di sinilah tempat pertama persatuan tersebut bernadi sebelum berpindah
ke Haiyu Sabiek yang sedia ada sekarang ini. Sehingga kini nama MKKK terus
diabadikan meskipun usianya telah mencecah suku abad tertegak memperjuangkan
dasarnya yang menyeru ke arah bersatu dan berjuang dalam membantu serta
menyatupadukan suara anak-anak Kedah di bumi Mesir.
MKKK sejak ditubuhkan telah dinaungi oleh Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir ( PMRAM ) selaku persatuan induk
yang berdaftar di bawah kerajaan Mesir dan kemudiannya telah mendapat
perkenan daripada DYMM Sultan Kedah pada
tahun 1980 sebagai penaung MKKK yang sekaligus memantapkan lagi
pengiktirafan penubuhan tersebut.
Selain itu MKKK telah menghadapi krisis penempatan memandangkan
penambahan keanggotaan ahlinya setiap tahun. Justeru
itu pelbagai langkah telah diambil dan alhamdulillah dengan kerjasama
Kerajaan Negeri Kedah sebuah apartmen penempatan
baru telah dibeli. Apartmen yang bertempat di Haiyu Sabiek kemudiannya
telah dijadikan pusat pentadbiran sehingga sekarang. Berikutan dengan itu
maka pada 21 hb Ogos 1980 apartmen tersebut telah sempurna dirasmikan oleh
Duli Yang Maha Mulia
Tunku Sultan Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Namun begitu usaha tersebut tidak terhenti begitu sahaja lantaran
kehadiran anak-anak negeri Kedah ke Perlembahan Nil ini
semakin meningkat dari tahun ke tahun yang sekarang ini telah melebihi
lapan ratus orang pelajar. Hal ini telah menimbulkan
permasalahan yang begitu ketara bagi pentadbiran MKKK di dalam
menyelesaikan masalah tempat penginapan. Oleh yang
demikian bermula dari tahun 1990 MKKK telah berusaha mendapatkan
sebuah lagi apartmen penempatan bagi menangani
masalah tersebut. Di samping itu, MKKK pada ketika itu masih belum
mendapat saluran kewangan berkapita daripada
kerajaan negeri malah segala sumber kewangan adalah bergantung
daripada wang kutipan ahli semata-mata.
Hasil kegigihan MKKK dan komitmen seluruh ahlinya yang ditunjukkan
kepada kerajaan negeri maka pihak Yayasan Negeri
Kedah ( YINK ) telah mengadakan lawatan kunjungan Dato’ Lela
Pahlawan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah juga Yang Berhormat Dato Haji
Ahmad Basri bin Mohd Akil dan Yang Berbahagia Tuan Pengurus Besar YINK
Tuan Haji Shukri bin Hashim pada 27 September 1993. Di dalam rangka lawatan
tersebut kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan mengiktiraf penubuhan
MKKK dan sekaligus menyalurkan bantuan tahunan kepada MKKK serta membeli
sebuah lagi apartmen yang terletak di Haiyu Asyir, Madinah Nasr, Kaherah.
Lanjutan daripada itu, pada 4 Julai 1994 bersamaan 25 Muharram
1415 Hari Upacara Perasmian apartmen tersebut
telah sempurna dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kedah Tan Sri
Dato Seri Haji Osman bin Haji Aroff iaitu bekas
menteri besar yang lalu.
Dewasa ini, MKKK telah menempa kegemilangan dan semakin mantap
dan kukuh pentadbirannya. Kini bilangan
keanggotaannya telah mencatatkan bilangan kedua terbanyak selepas
persatuan anak-anak negeri Kelantan.
Di samping itu juga MKKK di dalam rangka membalas jasa kerajaan
negeri telah mengatur pelbagai program dan
tindakan, di antaranya dengan menganjurkan Projek Bakti Siswa (
PBSA ) yang bertempat di Malaysia. Projek tersebut
merupakan program tahunan yang dikelolakan sepenuhnya oleh mahasiswa/wi
al-Azhar yang pulang bercuti di
Malaysia. Ianya telah membuahkan hasil yang membanggakan dalam
menyalurkan mutiara agama kepada
masyarakat di Malaysia.
Detik bersejarah 10 April 1997, MKKK sekali lagi menempa sejarah
dengan kehadiran Menteri Besar Kedah yang baru
iaitu Dato’ Sri Sanusi b. Junid serta rombongan bagi melihat suasana
dan keadaan anak-anak Kedah di bumi Mesir ini.
Hasil daripada lawatan tersebut, pihak kerajaan negeri telah meluluskan
peruntukan kewangan bagi membeli lima
buah komputer dan kitab- kitab untuk Maktabah MKKK .
Adalah menjadi harapan seluruh ahli MKKK agar hubungan baik yang
sedia terjalin di antara pihak MKKK dan
Kerajaan Negeri serta pihak Jabatan Penuntut Malaysia ini akan
berterusan demi kebajikan dan kebaikan anak-anak
negeri Kedah di bumi Mesir .
Album/Logo/Program
Home
MKKK
all right reserved 1999
Created
by WildaniansCopyrightCreative